Rabu, 5 Oktober 2016

Mencari penawar di KLCC

Kebanyakan orang yang saya temui semasa bertolak dari Alor Setar ke Kuala Lumpur menaiki Malaysia Airlines terkejut kerana saya tidak ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat. 

Saya membawa ibu saya ke KLCC. Ya, beliau belum pernah ke KLCC. Bahkan, Prof Hosoi dari Jepun telah melawati KLCC sebelum ibu saya. 

Selain dari menghiburkan hati ibu, saya juga ingin menenangkan diri. 

Setelah saya mengambil alih jawatan Timbalan Dekan Penyelidikan bermula tahun lepas, saya sangat sibuk dengan aturan dan aktiviti yang perlu dilakukan. Sewajarnya begitu. Namun, saya telah mengambil enteng akan kesihatan diri. Vertigo, itu diagnosis Prof Rosdan pada pertengahan tahun ini. Ubat nampaknya tidak memberi kesan, tetapi menghabiskan masa di kampung selama seminggu menjadi ubat yang mujarab, alhamdulillah. 

Moga apa yang saya lakukan ini akan memberi kebahagiaan kepada ibu dan Allah gembira dengan itu. 

Isnin, 3 Oktober 2016

Kuala Lumpur, kami datang....

Di tengah kesibukan kerja, saya mengambil cuti beberapa hari untuk membawa ibu ke Kuala Lumpur. Orang mungkin memandang enteng akan hal ini, tetapi bagi ibu saya, it's a lifetime opportunity for her.

Ibu telah menghabiskan masa muda menjaga datuknya, yang tinggal bersama-sama kami. Kemudian sibuk menjaga anak-anak kecil seramai tiga orang yang umur antara mereka hanya dipisahkan oleh jarak dua tahun. Kemudian, apabila kami semakin meningkat dewasa, ayah jatuh sakit disebabkan penyakit kencing manis yang dihadapi sedari usia 40an. Ibu menjaga ayah selama beberapa tahun sehingga ke penghujung hayat ayah.

Kini, selepas ketiadaan ayah dan saya mampu untuk membawa dia ke sana kemari, maka saya bawa. Biarkan dia melihat dunia.

Saya tak mampu membalas jasa dia dengan menjaganya. Oleh itu, saya cuba menggembirakan dia dengan cara saya. Moga Allah menerima kasih sayang ini.

Selasa, 20 September 2016

Keabadian yang kekal

Saya adalah seorang bekas pelajar UKM, alumni. Berijazah sarjana muda dan sarjana dari kampus Bandar Baru Bangi. Sehingga sekarang, kehidupan di UKM sangat saya hargai. Ia banyak mengajar saya erti kehidupan sebelum kehidupan sebenar di kalangan ahli masyarakat majmuk bermula. Namun, apa yang pasti, kehidupan Kamsis Ibrahim Yaacub memperkenalkan saya kepada Dr Haron Din.

Ianya bermula dengan kisah beliau, bas dan makhluk halus, yang entah benar entah tidak. Nama beliau sentiasa meniti di bibir para pelajar kampus Bangi. Dan kemudiannya kelahiran Darul Syifa' di Bandar Baru Bangi. Walaupun saya tidak pernah berkenalan dengan beliau secara dekat, kehadiran beliau sebagai pensyarah UKM adalah antara nama-nama besar Malaysia membanggakan. Kemudiannya, pembabitan beliau dalam bidang politik. Sesekali penuh dengan kontroversi. Bagaimana sekalipun, saya sentiasa menyanjung tinggi beliau kerana beliau adalah antara segelintir yang mampu menghafaz al-Quran. Bagaimana saya yang tajwid masih tunggang-langgang tidak terpesona dengan seorang Hafiz. Kembalinya beliau menemui Allah adalah suatu kehilangan kepada ummah.

Semoga beliau sentiasa dicucuri rahmah dan rahmat Allah.  

Sabtu, 17 September 2016

Bendang bertukar menjadi emas...

Sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menjejak kaki ke bendang. Bukan kerana saya jijik dengan lumpur tetapi kerana saya jarang berlama-lama di kampung. Minggu lepas saya sempat ke bendang. Sekali saja. Tapi hampir satu jam setengah, lepaskan gian memancing ikan di lubuk baroh. Lebih sepuluh ekor ikan puyu saya dapat. Dan indahnya petang di bendang apabila matahari mula hilang dibalik bukit. Apatah lagi sekarang musim padi masak. Satu padang bendang seumpama keemasan. 

Indah dunia ini, tapi tak seindah akhirat. Alhamdulillah, kerana aku mampu melihat keindahan dunia. Dan merasai kasih-sayang di sebalik memancing ikan beramai-ramai. Sayang apabila semuanya berakhir, dan akan tinggal hanyalah kenangan. 




Jumaat, 9 September 2016

Harapan pada setiap subuh


Kehidupan penuh dengan cabaran. Ada hari yang indah, ada hari yang penuh dengan cabaran. Untuk setiap orang, cabaran datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang sangat pedih di mana si pemerhati, dan ada hidup yang sentiasa indah di mata orang lain. Biar apa pun yang mendatang, suka atau duka, ada satu perkara kita perlu ingat. Allah beri malam untuk beristirehat dan recharge tenaga. Maka tidurlah setelah memaafkan semua orang. Moga, apabila kita bangun esok hari, ingatan dan perasaan sedih akan hilang, dan berganti dengan hati yang penuh berbunga dengan harapan. Semoga setiap subuh, harapan baru akan muncul.

Life for the moment. 

Rabu, 7 September 2016

Di mana kesantunan orang Malaysia pabila di alam maya?

Seminggu dua ni netizen kalut dengan hijrah dan istiqamah. Dan ada juga surat terbuka, ada surat yang penuh maksud tersirat dan ada juga yang tersirat di sebalik surat. Biarpun begitu, biar Allah sahaja menjaga yang tersirat. Kita manusia, bukan tuhan. Malaikat pun bukan.

Yang pedih dan sedih adalah kesantunan yang hilang. Rupa-rupanya manusia ini hatinya dan kata-kata yang terlontar melalui jari-jemari sangat bisa. Patutlah ada kata-kata "Mata pena itu lebih tajam dari pedang". Hari ini situasinya semua orang di belakang keyboard memegang sebilah pedang. Handal dan yakin dengan diri, menghukum pancung sesiapa yang tidak selari dengan pendapat peribadi. Ntah-ntah bila berdiri sendiri, kecut macam asam yang di jemur mentari.

Ayuh! Kembalikan kesantunan kita masyarakat Malaysia. Biar bahasa berbicara yang mengatakan kita bangsa Malaysia yang kaya dengan budi bahasa. Biar tulisan menjadi lambang warisan budi berzaman. Biar di belakang keyboard, kita masih semulia bila bertemu muka.

Ada adat dalam menegur. Ada cara yang lebih baik, ikutlah cara Nabi Muhammad S.A.W. Contohilah Hassan dan Hussin dalam menegur orang. Pasti kita semua tahu kisahnya, ya?


Jumaat, 26 Ogos 2016

Chong Wei dan surat cinta

Chong Wei melawan Lin Dan di gelanggang badminton adalah sebuah cerita yang menarik. Mereka masing-masing berusaha keras untuk mengalahkan antara satu sama lain dan memenangi pertandingan badminton di persada dunia. Namun, kekalahan Lin Dan semasa Olimpik di Rio, dan munculnya surat cinta "bromance" yang kononnya di tulis oleh Lin Dan kepada Chong Wei menjadi tarikan luar biasa.

Saya senyum menonton kenyataan ringkas Chong Wei selepas di tanya berkenaan kewujudan surat tersebut semasa sidang akhbar sejurus pulang dari Rio.

"U ingat kita cinta ke?" Sinis jawapan Chong Wei.

Soalan itu sebenarnya tidak patut ditanya. ;-)


Dari Kota Kinabalu ke Kundasang

Tengahari Sabtu lepas, kami berlepas ke Kota Kinabalu untuk percutian singkat. Alhamdulillah! Perjalanan tanpa masalah dari Kota Bharu dengan AirAsia. Keesokannya, kami memandu Innova ke Kundasang, kaki Gunung Kinabalu terlihat tenang. Sejuk malam 18 darjah celcius. Air pun sejuk. Tapi, seronoknya melihat gunung yang tersergam indah. 





 


Sabtu, 13 Ogos 2016

Hujung minggu yang sibuk...

Minggu lepas aku ke Pulau Pinang untuk urusan menghadiri persidangan mengenai sains kraniofasial. Alhamdulilah, berjaya mendapat pemenang terbaik persembahan penyelidikan dalam bidang stem sel dan kejuruteraan tisu.

Pulang, semalam Mas dan aku ke majlis makan malam dan malam graduasi pelajar tahun akhir yang telah berjaya menamatkan pengajian sebagai doktor gigi. Malam yang indah apabila bersama teman-teman meraikan para pelajar yang akan membawa nama universiti.

Dan hari ini kami diraikan pelajar tahun 4, makan sushi, kemudian ke kedai kopi dengan Kak Yanti dan anak-anak beliau. Shopping kasut tidak berjaya kerana saiz tak ada, kasihan Mas. Tapi, Mas dapat balas dendam apabila bertemu dengan jenama kesukaannya dia Parkson.

Aku juga yang panik apabila teringatkan kerja yang sepatutnya aku siapkan dan serahkan kepada KB belum siap.

Alhamdulillah, siap juga malam ni. Fuh! Berpeluh sekejap.

Cuma masih belum berjaya bawa Mas makan durian. Minggu depan tak sempat kerana akan ke Penang lagi, dan kemudian ke Sabah. Mak pula akan datang minggu depan untuk kami bersama-sama ke Sabah. Dan hujung minggu selepas pulang dari Sabah, Che Di akan datang.

Jadi, aku sedang memandang jadual minggu-minggu yang sibuk sebelum hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia.


Khamis, 11 Ogos 2016

Belajar adalah perjalanan tanpa henti sehingga mati

Saya adalah seorang saintis yang terlibat di dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mungkin hasil kerja saya tidak menyembuhkan sesiapa atau membantu pesakit secara terus. Namun, saya sentiasa berharap hasil penyelidikan saya akan membantu menghasilkan sesuatu yang memberi manafaat kepada masyarakat setempat, jika tidak sekarang, mungkin suatu masa nanti.

Kini saya sedang mendengar seorang profesor yang juga merupakan mentor saya, Prof Dato' Dr Ab Rani Samsudin, mengajar berkenaan penyembuhan tulang. Beliau adalah seorang pakar bedah mulut. Syarahan beliau ini adalah hasil kerja beliau selama ini. Semua ilmu adalah hak beliau yang Allah kurniaan kepadanya.

Kami, semua peserta persidangan hari ini beruntung kerana diberikan peluang untuk duduk dan belajar dari pengalaman beliau.

Selasa, 9 Ogos 2016

Ke Penang kita, singgah di Gerik makan durian

Hari ini aku ke Pulau Pinang bersama teman-teman. Alhamdulillah, ada yang sanggup memandu kereta. Sesekali berkereta tak terasa 6 jam masa berlalu. Tambahan pula kami sempat menyinggah makan durian di perhentian R&R di Gerik. Durian isi kuning dengan harga RM7 sekilo, masih segar rasanya. Kuning isi, lemak dan manis. Berbaloi!

Nah! Malam dah tiba, berehat di bilik hotel tapi kepanasan badan akibat durian sedang muncul. Hehehe!

Isnin, 8 Ogos 2016

Hujan yang turun

Semalam hujan turun sangat lebat. Air melimpah ruah. Segar rasa hati. Itu aku yang sukakan hujan. Sejuk. Dan selalu membawaku pulang ke memori lama.

Ayah sangat gemar berhujan. Apabila hujan, dia akan bawa keluar cangkul untuk bersihkan sekeliling rumah, dicangkulnya rumput-rumput kecil. Kami adik-beradik yang masih kecil akan ikut bermain hujan. Mula-mula dengan kapal kertas di aliran air di tepi rumah. Kemudian berubah kepada membasahkan rambut dengan air yang mengalir laju dari cucuran atap. Akhirnya menari-nari di tengah hujan lebat.

Setelah diusik marah, kami berlari ke dalam rumah, mandi, tukar baju. Dalam kesejukan, di hidang kopi dan cucur panas.

Indahnya hujan!

Ahad, 7 Ogos 2016

Tayar keretaku botak...

Sehari sebelum bertolak balik sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu, seorang pegawai menegur.

"Boss, tayar botak tu. Kena tukar dah!"

Oh! Berdenyut hati, berpeluh sejuk. Esok dah nak balik, mana ada masa nak tukar tayar. Duit lagi. Tak mampu nak tukar now and then mengenangkan banyak dah duit digunakan untuk beli kuih. Perempuan dan kuih raya seumpama lelaki dengan dengan sport rims. 

Sememangnya aku banyak berdoa sebelum bertolah dan di sepanjang perjalanan pulang melalui lebuh raya timur barat yang berbukit-bukau dan penuh dengan selekuh tajam. Memandu dengan berhati-hati dan sungguh berhemah, antara 80 hingga 100km/j.

Sebulan selepas raya, hari ni baru sempat ke kedai tayar.

Kak Na temankan aku. Selepas dinasihatkan oleh Mi, aku ke kedai Dunlop. Bab-bab tayar ni kena tanya pada yang pakar. Katanya Mi jenama yang di tawarkan oleh kedai pertama agak keras. Dunlop, Bridgestone dan Goodyear adalah antara yang baik. Guna tayar lebar lebih baik dari standard.

Jadi Kak Na cadangkan sebuah kedai tayar yang biasa dikunjunginya. Sampainya ke kedai tayar tu, towkey tu keluar dari kedai dan terus tanya kami di depan pintu kereta. Baik pula pokcik towkey tu melayan kami. Client is to be treated well. Aku pilih Dunlop selepas ditawarkan Continental. Mahal jugak Continental tu. Quality comes with price.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan ku hari ni.

Berpagi-pagi mencari rezeki

Saya suka pagi. Suasana pagi sentiasa menceriakan terutamanya tatkala mendengar bunyi-bunyian unggas, burung dan kokok ayam. Mana nak cari semua tu sekarang. Yang paling kuat adalah bunyi hon dan enjin lori. Namun, jangan biarkan kekurangan menutup kegembiraan. Alhamdulilah, dibelakang rumah saya ada beberapa pokok besar, jadi sesekali masih boleh terdengar bunyi kicauan burung pagi, sibuk keluar sarang mencari rezeki.

Saya berasal dari Kedah. Rumah kampung orang Kedah selalunya terletak di kawasan sawah, atau dipanggil orang utara bendang. Sekeliling rumah penuh dengan pokok-pokok besar. Pokok durian pun ada. Seronoknya bila musim buah-buahan tiba. Sedapnya makan durian fresh yang dikutip dibawah pokok dan makan dengan pulut panas dengan berkuah santan lemak masin. Atau nasi goreng yang ditambah dengan parut kelapa. Atau nasi pulut tanak di makan dengan ikan kering, kelapa parut berulam sambal belacan tumbuk.

Wah! Sukanya orang Kedah makan pagi. Nasi dan pulut.

Kita kena lihat dari cara kehidupan orang dahulu-kala mencari rezeki.

Ke sawah banting tulang, ke kebun atau pergi menoreh getah. Semuanya kerja kuat. InsyaAllah, rezeki halal. Tak ada istilah ponteng kerja, makan suap atau curi tulang. InsyaAllah rezeki halal. Tak kaya, tak miskin, dan anak-anak semua berjaya.

Berpagi-pagi mencari rezeki, rezeki halal, hidup berkat. 

Sabtu, 6 Ogos 2016

Olimpik Rio 2016: Selamat berjuang

Sekarang acara Sukan Olimpik 2016 sedang berlangsung di Rio. Di dalam upacara pembukaan sukan tersebut, kontinjen Malaysia diketuai oleh Datuk Lee Chong Wei. Sebanyak 206 buah negara menyertai pertandingan ini.

Selamat berjaya atlet Malaysia!

Ola bola dan boikot

Saya menetap di Tokushima, Japan selama empat tahun. Menjadi seorang 'foreigner' atau kami di sana dipanggil 'alien'. Ya, alien. Maksudnya kami perlu mendaftar di sana dan mempunyai kad yang di panggil 'alien card'. Jadi, dengan kata lain, saya pernah menjadi orang asing di negara orang.

Itu bukan perkara yang saya ingin katakan sekarang. Yang ingin saya perkatakan di sini ialah kenapa perlu ada kategori khas dan memilih untuk meletakkan Ola Bola dan beberapa filem lain dalam pesta filem tahunan tersebut berasaskan bahasa. Jika saya letakkan diri saya di tempat pembuat filem, saya pasti tertanya-tanya. Pada ketika ini di mana kita sepatutnya mendidik masyarakat untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia, terdapat satu pihak yang berpandangan pelik. Kita semua tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tetapi filem adalah medium hiburan dan tidak sepatutnya semua filem berbahasa Melayu semata-mata. Jika Finas merasakan filem yang tidak berbahasa Melayu itu semakin mendapat tempat, mungkin ini adalah masa yang sesuai Finas membuat kajian. Pada pendapat saya, kekuatan Malaysia ialah kepelbagaian. Disebabkan kepelbagaian, Malaysia seumpama syurga makanan. Seperti Paris syurga fesyen. Kenapa perlu statik dalam pandangan dan prinsip sedangkan kereta pun sentiasa berubah. Lagipun, perubahan prinsip ini mungkin akan membawa kebaikan. Lagipun, bahasa-bahasa yang digunakan dalam filem itu bukanlah bahasa alien, itu semua adalah bahasa yang digunakan di Malaysia.

Bagi saya tindakan Afdlin Shauki itu tepat. Beliau sebagai seorang pembuat filem yang sentiasa berusaha untuk memasukkan nilai Malaysia dalam filemnya, telah memboikot acara tersebut. 

Jumaat, 5 Ogos 2016

Jadilah yang terbaik!

Setelah terima keputusan matrikulasi UKM pada pertengahan tahun 90an dahulu, saya kecewa. Keputusannya saya gagal masuk ke kursus perubatan di UKM. Sememangnya saya berhajat untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. Seharian saya berkurung di dalam bilik, sehinggakan ayah saya mengugut tak benarkan saya masuk universiti langsung, barulah saya turun untuk makan. Tough love!

Jadi, saya mendaftar diri ke fakulti sains hayat, UKM. Semasa hari pertama kami di fakulti, ada acara mengalu-alukan pelajar baru. Ramai profesor-profesor di depan dewan. Ingatan saya berkenaan acara tersebut agak kabur. Namun, yang melekat di hati ialah satu rangkap ucapan daripada seorang pensyarah.

'Kamu di sini mungkin bukan sebagai pilihan pertama. Namun, walaupun apa bidang yang kamu belajar, pastikan kamu yang terbaik. Selepas itu, kamu boleh jadi apa sahaja yang kamu mahu.'

Saya sentiasa mengingatkan diri akan hakikat bahawa minat boleh dipupuk dan ilmu boleh dipelajari. Tetapi untuk berjaya, kita mesti jadi yang terbaik dalam bidang yang kita ceburi.

Itu baru cun! (Rangkap ni terkenal di kalangan generasi saya yang lahir di tahun 1970an).

Berleter

Orang tak suka dengar leteran. Kalau cakap banyak, lagi orang benci. Tapi, cuba anggap leteran tu tanda kasih sayang, mesti rindu kalau tak dengar sehari. Kalau saya, leteran itu ibarat muzik dari hati. Tanda kasih yang terluah dalam cara yang panjang. Kalau cakap 'I love u', tiga perkataan saja. Sikit. Jadi berleterlah...