Sabtu, 6 Ogos 2016

Ola bola dan boikot

Saya menetap di Tokushima, Japan selama empat tahun. Menjadi seorang 'foreigner' atau kami di sana dipanggil 'alien'. Ya, alien. Maksudnya kami perlu mendaftar di sana dan mempunyai kad yang di panggil 'alien card'. Jadi, dengan kata lain, saya pernah menjadi orang asing di negara orang.

Itu bukan perkara yang saya ingin katakan sekarang. Yang ingin saya perkatakan di sini ialah kenapa perlu ada kategori khas dan memilih untuk meletakkan Ola Bola dan beberapa filem lain dalam pesta filem tahunan tersebut berasaskan bahasa. Jika saya letakkan diri saya di tempat pembuat filem, saya pasti tertanya-tanya. Pada ketika ini di mana kita sepatutnya mendidik masyarakat untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia, terdapat satu pihak yang berpandangan pelik. Kita semua tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tetapi filem adalah medium hiburan dan tidak sepatutnya semua filem berbahasa Melayu semata-mata. Jika Finas merasakan filem yang tidak berbahasa Melayu itu semakin mendapat tempat, mungkin ini adalah masa yang sesuai Finas membuat kajian. Pada pendapat saya, kekuatan Malaysia ialah kepelbagaian. Disebabkan kepelbagaian, Malaysia seumpama syurga makanan. Seperti Paris syurga fesyen. Kenapa perlu statik dalam pandangan dan prinsip sedangkan kereta pun sentiasa berubah. Lagipun, perubahan prinsip ini mungkin akan membawa kebaikan. Lagipun, bahasa-bahasa yang digunakan dalam filem itu bukanlah bahasa alien, itu semua adalah bahasa yang digunakan di Malaysia.

Bagi saya tindakan Afdlin Shauki itu tepat. Beliau sebagai seorang pembuat filem yang sentiasa berusaha untuk memasukkan nilai Malaysia dalam filemnya, telah memboikot acara tersebut. 

Tiada ulasan: