Rabu, 5 Oktober 2016

Mencari penawar di KLCC

Kebanyakan orang yang saya temui semasa bertolak dari Alor Setar ke Kuala Lumpur menaiki Malaysia Airlines terkejut kerana saya tidak ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat. 

Saya membawa ibu saya ke KLCC. Ya, beliau belum pernah ke KLCC. Bahkan, Prof Hosoi dari Jepun telah melawati KLCC sebelum ibu saya. 

Selain dari menghiburkan hati ibu, saya juga ingin menenangkan diri. 

Setelah saya mengambil alih jawatan Timbalan Dekan Penyelidikan bermula tahun lepas, saya sangat sibuk dengan aturan dan aktiviti yang perlu dilakukan. Sewajarnya begitu. Namun, saya telah mengambil enteng akan kesihatan diri. Vertigo, itu diagnosis Prof Rosdan pada pertengahan tahun ini. Ubat nampaknya tidak memberi kesan, tetapi menghabiskan masa di kampung selama seminggu menjadi ubat yang mujarab, alhamdulillah. 

Moga apa yang saya lakukan ini akan memberi kebahagiaan kepada ibu dan Allah gembira dengan itu. 

Isnin, 3 Oktober 2016

Kuala Lumpur, kami datang....

Di tengah kesibukan kerja, saya mengambil cuti beberapa hari untuk membawa ibu ke Kuala Lumpur. Orang mungkin memandang enteng akan hal ini, tetapi bagi ibu saya, it's a lifetime opportunity for her.

Ibu telah menghabiskan masa muda menjaga datuknya, yang tinggal bersama-sama kami. Kemudian sibuk menjaga anak-anak kecil seramai tiga orang yang umur antara mereka hanya dipisahkan oleh jarak dua tahun. Kemudian, apabila kami semakin meningkat dewasa, ayah jatuh sakit disebabkan penyakit kencing manis yang dihadapi sedari usia 40an. Ibu menjaga ayah selama beberapa tahun sehingga ke penghujung hayat ayah.

Kini, selepas ketiadaan ayah dan saya mampu untuk membawa dia ke sana kemari, maka saya bawa. Biarkan dia melihat dunia.

Saya tak mampu membalas jasa dia dengan menjaganya. Oleh itu, saya cuba menggembirakan dia dengan cara saya. Moga Allah menerima kasih sayang ini.

Selasa, 20 September 2016

Keabadian yang kekal

Saya adalah seorang bekas pelajar UKM, alumni. Berijazah sarjana muda dan sarjana dari kampus Bandar Baru Bangi. Sehingga sekarang, kehidupan di UKM sangat saya hargai. Ia banyak mengajar saya erti kehidupan sebelum kehidupan sebenar di kalangan ahli masyarakat majmuk bermula. Namun, apa yang pasti, kehidupan Kamsis Ibrahim Yaacub memperkenalkan saya kepada Dr Haron Din.

Ianya bermula dengan kisah beliau, bas dan makhluk halus, yang entah benar entah tidak. Nama beliau sentiasa meniti di bibir para pelajar kampus Bangi. Dan kemudiannya kelahiran Darul Syifa' di Bandar Baru Bangi. Walaupun saya tidak pernah berkenalan dengan beliau secara dekat, kehadiran beliau sebagai pensyarah UKM adalah antara nama-nama besar Malaysia membanggakan. Kemudiannya, pembabitan beliau dalam bidang politik. Sesekali penuh dengan kontroversi. Bagaimana sekalipun, saya sentiasa menyanjung tinggi beliau kerana beliau adalah antara segelintir yang mampu menghafaz al-Quran. Bagaimana saya yang tajwid masih tunggang-langgang tidak terpesona dengan seorang Hafiz. Kembalinya beliau menemui Allah adalah suatu kehilangan kepada ummah.

Semoga beliau sentiasa dicucuri rahmah dan rahmat Allah.  

Sabtu, 17 September 2016

Bendang bertukar menjadi emas...

Sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menjejak kaki ke bendang. Bukan kerana saya jijik dengan lumpur tetapi kerana saya jarang berlama-lama di kampung. Minggu lepas saya sempat ke bendang. Sekali saja. Tapi hampir satu jam setengah, lepaskan gian memancing ikan di lubuk baroh. Lebih sepuluh ekor ikan puyu saya dapat. Dan indahnya petang di bendang apabila matahari mula hilang dibalik bukit. Apatah lagi sekarang musim padi masak. Satu padang bendang seumpama keemasan. 

Indah dunia ini, tapi tak seindah akhirat. Alhamdulillah, kerana aku mampu melihat keindahan dunia. Dan merasai kasih-sayang di sebalik memancing ikan beramai-ramai. Sayang apabila semuanya berakhir, dan akan tinggal hanyalah kenangan. 




Jumaat, 9 September 2016

Harapan pada setiap subuh


Kehidupan penuh dengan cabaran. Ada hari yang indah, ada hari yang penuh dengan cabaran. Untuk setiap orang, cabaran datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang sangat pedih di mana si pemerhati, dan ada hidup yang sentiasa indah di mata orang lain. Biar apa pun yang mendatang, suka atau duka, ada satu perkara kita perlu ingat. Allah beri malam untuk beristirehat dan recharge tenaga. Maka tidurlah setelah memaafkan semua orang. Moga, apabila kita bangun esok hari, ingatan dan perasaan sedih akan hilang, dan berganti dengan hati yang penuh berbunga dengan harapan. Semoga setiap subuh, harapan baru akan muncul.

Life for the moment. 

Rabu, 7 September 2016

Di mana kesantunan orang Malaysia pabila di alam maya?

Seminggu dua ni netizen kalut dengan hijrah dan istiqamah. Dan ada juga surat terbuka, ada surat yang penuh maksud tersirat dan ada juga yang tersirat di sebalik surat. Biarpun begitu, biar Allah sahaja menjaga yang tersirat. Kita manusia, bukan tuhan. Malaikat pun bukan.

Yang pedih dan sedih adalah kesantunan yang hilang. Rupa-rupanya manusia ini hatinya dan kata-kata yang terlontar melalui jari-jemari sangat bisa. Patutlah ada kata-kata "Mata pena itu lebih tajam dari pedang". Hari ini situasinya semua orang di belakang keyboard memegang sebilah pedang. Handal dan yakin dengan diri, menghukum pancung sesiapa yang tidak selari dengan pendapat peribadi. Ntah-ntah bila berdiri sendiri, kecut macam asam yang di jemur mentari.

Ayuh! Kembalikan kesantunan kita masyarakat Malaysia. Biar bahasa berbicara yang mengatakan kita bangsa Malaysia yang kaya dengan budi bahasa. Biar tulisan menjadi lambang warisan budi berzaman. Biar di belakang keyboard, kita masih semulia bila bertemu muka.

Ada adat dalam menegur. Ada cara yang lebih baik, ikutlah cara Nabi Muhammad S.A.W. Contohilah Hassan dan Hussin dalam menegur orang. Pasti kita semua tahu kisahnya, ya?


Jumaat, 26 Ogos 2016

Chong Wei dan surat cinta

Chong Wei melawan Lin Dan di gelanggang badminton adalah sebuah cerita yang menarik. Mereka masing-masing berusaha keras untuk mengalahkan antara satu sama lain dan memenangi pertandingan badminton di persada dunia. Namun, kekalahan Lin Dan semasa Olimpik di Rio, dan munculnya surat cinta "bromance" yang kononnya di tulis oleh Lin Dan kepada Chong Wei menjadi tarikan luar biasa.

Saya senyum menonton kenyataan ringkas Chong Wei selepas di tanya berkenaan kewujudan surat tersebut semasa sidang akhbar sejurus pulang dari Rio.

"U ingat kita cinta ke?" Sinis jawapan Chong Wei.

Soalan itu sebenarnya tidak patut ditanya. ;-)